Followers
Sunday, March 31, 2013
HASAD DENGKI
Petanda-petanda bila berlakunya hasad dengki apabila anda rasa hati anda berdebar-debar...hati berbisik akan sesuatu perkara yang tidak baik akan berlaku ke atas diri, saudara, harta-benda, kekasih, isteri, suami atau keluarga...hati akan rasa resah dan bimbang....maka di waktu itu hendaklah berwaspada...bacalah Surah Yasin dan lakukan Solat Hajat!!! Bermohonlah akan perlindungan daripada Allah s.w.t...
What goes around comes around ....oleh itu janganlah kita berhasad dengki...terimalah dengan hati yang terbuka akan setiap sesuatu....janganlah melibatkan diri untuk memutuskan silaturahim dan kasih sayang sesama insan...hanya semata-mata tersedit perasaan HASAD DENGKI....sehingga menjerumuskan insan untuk MENYEMBAH SYAITAN YANG DIREJAM.....
Tuesday, January 29, 2013
WAJIB MENUNTUT ILMU AGAMA DAN KELEBIHANNYA
WAJIB MENUNTUT ILMU AGAMA DAN KELEBIHANNYA
Firman Allah Taala, maksudnya: ".. bertanyalah kamu kepada orang-orang yang
berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahuinya." (43, An-Nahl dan
7, Al-Anbia').
Hadis Kedua
Puluh
20- عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ طَلَبُ الْعِلْمِ فَرِيضَةٌ عَلَى كُلِّ
مُسْلِمٍ.
(ابن ماجه
وغيره)
20 - Dari Anas bin Malik
r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Menuntut ilmu adalah satu fardu yang wajib atas tiap-tiap seorang Islam."
(Ibnu Majah dan
Lain-lainnya).
Hadis yang kedua puluh ini mewajibkan tiap-tiap orang Islam - lelaki dan perempuan - mempelajari ilmu agama.
Huraiannya:
Oleh kerana sesuatu pekerjaan dari yang sekecil-kecilnya hingga yang sebesar-besarnya tidak dapat dilakukan dengan teratur dan sempurna melainkan dengan ilmu pengetahuan yang berkenaan dengannya, maka nyatalah wajibnya seseorang mempelajari hukum dan peraturan Islam bagi apa sahaja perkara yang hendak dilakukannya sebagai wajib fardu ain.
Oleh kerana sesuatu pekerjaan dari yang sekecil-kecilnya hingga yang sebesar-besarnya tidak dapat dilakukan dengan teratur dan sempurna melainkan dengan ilmu pengetahuan yang berkenaan dengannya, maka nyatalah wajibnya seseorang mempelajari hukum dan peraturan Islam bagi apa sahaja perkara yang hendak dilakukannya sebagai wajib fardu ain.
Menurut kitab Al-Furuq dan
"Tahzib al-Furuq" bahawa Imam Ghazali dalam kitabnya
"Ihya-'Ulumuddin" dan Imam Asy-Syafi'i dalam
kitabnya "Ar-Risalah" menerangkan; Bahawa telah
sekata alim ulama, tidak harus seseorang cuba melakukan sesuatu perkara sehingga ia mengetahui lebih dahulu hukum-hukum Allah mengenai perkara yang
hendak dilakukannya itu; - orang yang hendak berjual beli wajib mempelajari
hukum Allah mengenainya dan orang yang hendak menyewa, memberi sewa, mengupah dan mengambil upah wajib mempelajari hukum Allah mengenainya.
Demikian juga orang yang hendak sembahyang wajib mempelajari hukum Allah
mengenal sembahyang. Demikian seterusnya segala perkataan yang hendak dikatakan dan segala amal yang hendak dikerjakan. Maka
sesiapa yang mengetahui hukum Allah dan beramal menurut apa yang
diketahuinya, sudah tentu ia telah mentaati Allah dengan dua
taat dan sesiapa yang tidak mengetahui dan tidak pula
beramal, sudah tentu ta telah menderhaka kepada Allah dengan dua kederhakaan;
dan sesiapa yang mengetahui hukum Allah dan tidak beramal mengikutNya, maka ia
telah mentaati Allah dengan satu taat dan menderhaka kepadaNya dengan satu kederhakaan.
Sayugia diingat, bahawa ilmu
agama itu bukan satu perkara yang mudah didapati bahkan mestilah dipelajari dan diterima dari orang Islam yang betul-betul dan
sah ilmunya serta jujur dan adil dalam penyampaiannya,
sebagaimana yang diterangkan dalam hadis Rasulullah s.a.w. yang
maksudnya: "Sesungguhnya ilmu yang sah dan muktabar itu tidak
akan dapat dicapai melainkan dengan dipelajari dari guru"; bukan semata-mata
dari buku-buku, lebih-lebih lagi yang dikarang oleh orang-orang orientalis, yang kebanyakannya menghidangkan madu bercampur
racun.
Hadis Kedua Puluh
Satu
21- عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرِو رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَنَّ
رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الْعِلْمُ ثَلَاثَةٌ
وَمَا سِوَى ذَلِكَ فَهُوَ فَضْلٌ آيَةٌ مُحْكَمَةٌ أَوْ سُنَّةٌ قَائِمَةٌ أَوْ
فَرِيضَةٌ عَادِلَةٌ. (أبو داود وابن ماجه)
21 - Dari Abdullah bin 'Amr r.a., dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Ilmu
yang menjadi asas (bagi ilmu-ilmu yang dikehendaki oleh agama)
adalah tiga dan yang lain dari itu adalah ilmu yang lebih; - ilmu-ilmu yang tiga itu ialah: Ayat Al-Qur'an yang
terang nyata dan tidak dimansukhkan hukumnya; atau
"Sunnah" (hadis) yang sah datangnya dari
Rasulullah s.a.w., yang tetap kekal atau ketetapan dan keputusan yang
betul sama seimbang (dengan
kehendak kitab Allah dan sunnah RasulNya)"
( Abu Daud dan Ibnu Majah)
Hadis yang kedua puluh satu
ini menerangkan:
1) Ilmu yang menjadi asas bagi ilmu-ilmu agama.
2) Ilmu-ilmu yang lebih (yang tidak dikehendaki oleh agama).
1) Ilmu yang menjadi asas bagi ilmu-ilmu agama.
2) Ilmu-ilmu yang lebih (yang tidak dikehendaki oleh agama).
Huraiannya:
1) Ilmu-ilmu agama itu terbahagi
dua:
Pertama - Ilmu-ilmu yang
telah ditetapkan Tuhan menjadi Asas.
Kedua - Ilmu-ilmu yang
dikehendaki oleh asas itu.
Bahagian yang pertama -
Ilmu-ilmu yang ditetapkan menjadi asas itu ialah:
(1) Ayat-ayat Al-Qur'an yang
terang nyata dan tidak dimansukhkan
hukumnya, yang menjadi asas untuk dirujukkan kepadanya ayat-ayat Al-Qur'an yang
"Mutasyabihat" (yang tidak jelas maksudnya).
(2) "Sunnah" atau "Hadis" Rasulullah s.a.w. yang meliputi perkataannya, perbuatannya dan taqrirnya (ketiadaan larangannya), yang sah datangnya dari Baginda dan berkekalan diamalkan, kerana ialah yang menjadi keterangan dan ulasan bagi kitab Allah Al-Qur'an al-Karim.
(3) Ketetapan dan keputusan yang betul sama seimbang dengan kehendak kitab Allah dan sunnah Rasul-Nya, yang ditetapkan atau diputuskan dengan jalan "ijma'" (kata sepakat alim ulama), atau dengan jalan "Qiyas" (bandingan sesuatu perkara yang belum ada hukumnya dengan perkara yang telah ada hukumnya).
(2) "Sunnah" atau "Hadis" Rasulullah s.a.w. yang meliputi perkataannya, perbuatannya dan taqrirnya (ketiadaan larangannya), yang sah datangnya dari Baginda dan berkekalan diamalkan, kerana ialah yang menjadi keterangan dan ulasan bagi kitab Allah Al-Qur'an al-Karim.
(3) Ketetapan dan keputusan yang betul sama seimbang dengan kehendak kitab Allah dan sunnah Rasul-Nya, yang ditetapkan atau diputuskan dengan jalan "ijma'" (kata sepakat alim ulama), atau dengan jalan "Qiyas" (bandingan sesuatu perkara yang belum ada hukumnya dengan perkara yang telah ada hukumnya).
Bahagian yang kedua - ilmu-limu yang dikehendaki oleh asas itu
ialah:
Ilmu-ilmu yang ada hubungannya dengan kehendak-kehendak tata bahasa dan kesusasteraan Arab, juga yang ada hubungannya dengan pengertian maksud dan pengambilan hukum-hukum syarak (Istinbat); ilmu perubatan untuk menjaga dan memelihara kesihatan dan seterusnya ilmu-ilmu kemasyarakatan, pembangunan, perniagaan, perindustrian, pertanian, perikanan, pelayaran, penerbangan dan sebagainya dari tiap-tiap ilmu pengetahuan yang dikehendaki adanya dan tak dapat ditinggalkan untuk menjalankan segala urusan pentadbiran dan pertahanan negara meliputi segala jenis ilmu pengetahuan sains dan teknologi yang diperlukan oleh keadaan dan masa, asalkan tidak bertentangan dengan asas yang tiga itu.
Ilmu-ilmu yang ada hubungannya dengan kehendak-kehendak tata bahasa dan kesusasteraan Arab, juga yang ada hubungannya dengan pengertian maksud dan pengambilan hukum-hukum syarak (Istinbat); ilmu perubatan untuk menjaga dan memelihara kesihatan dan seterusnya ilmu-ilmu kemasyarakatan, pembangunan, perniagaan, perindustrian, pertanian, perikanan, pelayaran, penerbangan dan sebagainya dari tiap-tiap ilmu pengetahuan yang dikehendaki adanya dan tak dapat ditinggalkan untuk menjalankan segala urusan pentadbiran dan pertahanan negara meliputi segala jenis ilmu pengetahuan sains dan teknologi yang diperlukan oleh keadaan dan masa, asalkan tidak bertentangan dengan asas yang tiga itu.
(2) Ilmu-ilmu yang lebih (yang tidak
dikehendaki oleh agama).
Ilmu-ilmu yang lebih (yang
tidak dikehendaki oleh agama) itu ialah:
Tiap-tiap ilmu pengetahuan yang tidak berdasarkan salah satu dari kitab Allah dan sunnah Rasul-Nya, lebih-lebih lagi yang bertentangan dengan kandungan keduanya atau dengan yang
difahamkan dari keduanya, atau pun ilmu pengetahuan yang tak
dapat memberi pertolongan untuk
memahami kandungan keduanya.
Ilmu yang tersebut yang bukan
sahaja tidak perlu dipelajari, bahkan boleh jadi ia dari ilmu-ilmu yang tidak
memberi manfaat yang disuruh oleh Rasulullah s.a.w. supaya
umatnya memohon dilindungi dan dijauhi oleh Allah Taala daripadanya, lebih-lebih
lagi ilmu yang membahayakan diri sendiri atau orang lain, seperti ilmu
sihir, ilmu nujum (Astrologi) dan
sebagainya.
Hadis Kedua Puluh
Dua
22- عَنِ ابْنِ مَسْعُودٍ قَالَ لِي رَسُولُ
اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَعَلَّمُوا الْعِلْمَ وَعَلِّمُوهُ
النَّاسَ تَعَلَّمُوا الْفَرَائِضَ وَعَلِّمُوهُ النَّاسَ تَعَلَّمُوا الْقُرْآنَ
وَعَلِّمُوهُ النَّاسَ فَإِنِّي امْرُؤٌ مَقْبُوضٌ وَالْعِلْمُ سَيُقْبَضُ
وَتَظْهَرُ الْفِتَنُ حَتَّى يَخْتَلِفَ اثْنَانِ فِي فَرِيضَةٍ لَا يَجِدَانِ
أَحَدًا يَفْصِلُ بَيْنَهُمَا. (الدارمي
والدارقطني)
22 - Dari Ibnu Mas'ud ra.,
dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Pelajarilah ilmu-ilmu
agama dan ajarkanlah dia kepada orang ramai; - pelajarilah perkara-perkara yang difardukan dalam Islam dan
ajarkanlah dia kepada orang ramai; pelajarilah
Al-Qur'an dan ajarkanlah dia kepada orang ramai; kerana sebenarnya aku seorang
yang akan mati (seperti makhluk-makhluk yang lain) dan ilmu
juga akan diambil (kembali oleh Tuhan dan hilang lenyap) dan akan lahirlah berbagai-bagai fitnah kekacauan sehingga akan berselisih dua orang dalam satu perkara yang
difardukan, yang mereka tak dapat seorang pun yang boleh menyelesaikan perkara yang diperselisihkan itu".
(Ad-Darimi dan
Ad-Daruqutni)
Hadis yang kedua puluh dua ini mengandungi:
(1) Perintah belajar dan mengajar.
(2) Amaran tentang kehilangan Ilmu dan akibatnya.
(1) Perintah belajar dan mengajar.
(2) Amaran tentang kehilangan Ilmu dan akibatnya.
Huraiannya:
(1) Perintah belajar dan
mengajar:
Ilmu yang diperintahkan
belajar dan mengajarnya, sebagaimana yang diterangkan
dalam hadis ini ialah:
Pertama - Segala ilmu pengetahuan yang berhubung dengan agama.
Kedua - Ilmu yang difardukan seseorang mempelajarinya untuk bawaan dirinya sendiri dan juga untuk orang lain.
Ketiga - Ilmu yang berhubung secara khusus dengan Al-Qur'an.
Pertama - Segala ilmu pengetahuan yang berhubung dengan agama.
Kedua - Ilmu yang difardukan seseorang mempelajarinya untuk bawaan dirinya sendiri dan juga untuk orang lain.
Ketiga - Ilmu yang berhubung secara khusus dengan Al-Qur'an.
Sebagai sebuah kitab
suci, kalam Allah yang wajib dijaga dan dipelihara dari sebarang pindaan dan pengubahan, baik pada sebutannya mahu pun pada cara bacaannya, maka
Rasulullah s.a.w. menegaskan secara khusus tentang wajibnya belajar dan mengajar ilmu yang tersebut untuk
mengesahkan benarnya apa yang dijaminkan oleh Allah Taala pada ayat 9, Surah Al-Hijr, yang
bermaksud: "Sesungguhnya Kami menurunkan Al-Qur'an dan Kamilah yang memeliharanya."
(2) Amaran tentang kehilangan ilmu dan akibatnya:
Oleh sebab Rasulullah s.a.w. ialah yang menyampaikan ilmu-ilmu agama
dan Baginda juga seorang manusia yang akan
mati maka Baginda menyuruh umatnya belajar dan
mengajar segala jenis ilmu pengetahuan yang
disampaikannya, kerana dengan kecuaian belajar dan mengajar
maka ilmu pengetahuan akan beransur-ansur hilang, sehinggakan perkara-perkara fardu yang seorang mesti
mengerjakannya pun akan berlaku padanya perselisihan dengan tidak
didapati orang yang boleh menyelesaikannya.
Hadis Kedua Puluh
Tiga
23- عَنْ أَبِي بَكْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ
عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ اغْدُ عَالِمًا أَوْ
مُتَعَلِّمًا أَوْ مُسْتَمِعًا أَوْ وَلَا تَكُنِ الخَامِسَةَ
فَتَهْلِكَ. (البزار)
23- Dari Abu Bakrah ra., Dari
Nabi s.a.w., sabdanya: "Jadikanlah dirimu
orang alim atau orang yang menuntut ilmu atau orang yang selalu mendengar pelajaran agama, atau pun orang yang mencintai (tiga golongan yang tersebut); dan janganlah engkau menjadi (dari) golongan yang kelima, yang dengan sebabnya engkau akan binasa."
(Al-Bazzar)
Hadis yang kedua puluh tiga ini menyuruh supaya
tiap-tiap seorang menentukan sikapnya terhadap
ilmu agama.
Huraiannya:
Tiap-tiap seorang dikehendaki menentukan sikapnya terhadap ilmu pengetahuan agama dengan salah satu dari empat cara, iaitu menjadikan dirinya orang alim yang mengajar atau orang yang belajar atau orang yang mendengar syarahan-syarahan agama atau pun orang yang mencintai dan menghargai salah satu dari tiga golongan yang tersebut dengan menurut jejak langkahnya.
Tiap-tiap seorang dikehendaki menentukan sikapnya terhadap ilmu pengetahuan agama dengan salah satu dari empat cara, iaitu menjadikan dirinya orang alim yang mengajar atau orang yang belajar atau orang yang mendengar syarahan-syarahan agama atau pun orang yang mencintai dan menghargai salah satu dari tiga golongan yang tersebut dengan menurut jejak langkahnya.
Dengan sikap yang demikian, seseorang itu terjamin untuk mendapat keselamatan dan kebahagiaan, sama ada dalam perkara
jasmaninya mahu pun rohaninya, kerana ia sentiasa dalam jagaan
ilmu pengetahuan yang memimpinnya ke jalan yang benar dan memberinya kesedaran untuk
memilih yang baik dari yang buruk dan yang hak dari yang
batil.
Ada pun golongan yang kelima,
iaitu yang tidak termasuk dalam salah satu dari empat golongan yang tersebut,
maka mereka adalah golongan yang binasa, kerana mereka tidak ada pimpinan yang dengannya mereka dapat membezakan di antara yang
benar dengan yang salah.
Imam Mawardi menyatakan:
Bahawa orang yang menganggap ilmu syarak itu tidak ada faedahnya dipelajari dan lebih baik sahaja ditinggalkan, sebenarnya
orang itu tenggelam dalam kesesatan dan jauh dan
mendapat hidayat pertunjuk, serta ia termasuk dalam
golongan yang kelima yang binasa.
Hadis Kedua Puluh
Empat
24- عَنْ مُعَاوِيَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى
اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ يُرِدِ اللَّهُ بِهِ خَيْرًا يُفَقِّهْهُ
فِي الدِّينِ وَإِنَّمَا أَنَا قَاسِمٌ وَاللَّهُ يُعْطِي وَلَنْ تَزَالَ هَذِهِ
الْأُمَّةُ قَائِمَةً عَلَى أَمْرِ اللَّهِ لَا يَضُرُّهُمْ مَنْ خَالَفَهُمْ
حَتَّى يَأْتِيَ أَمْرُ اللَّهِ. (البخاري
ومسلم)
24 - Dari Muawiyah r.a., dari
Nabi s.a.w., sabdanya: "Sesiapa yang dikehendaki
Allah mendapat kebaikan, nescaya
dijadikan dia seorang yang beroleh fahaman yang teliti dalam perkara agama dan bahawa sesungguhnya aku ini hanyalah yang
membahagikan, sedang Allah Taala jualah yang memberi dan sebahagian dari umatku ini tetap terus menjalankan agama
Allah, tidak ada sesiapa pun dari
kalangan orang-orang yang menyalahi mereka dapat
merosakkan mereka, sehinggalah datang perintah Allah."
(Bukhari dan
Muslim)
Sambungan...
Hadis yang kedua puluh empat
ini menerangkan:
(1)
Kelebihan orang yang dikurniakan fahaman yang teliti dalam perkara agama.
(2) Allah jualah yang
mengurniakan ilmu pengetahuan.
(3)
Sebahagian dari umat Muhammad s.a.w. tetap terus menjalankan kebenaran.
Huraiannya:
(1) Kelebihan orang yang dikurniakan
fahaman yang teliti dalam perkara
agama:
Di antara ilmu-ilmu agama
yang utama sekali pada nilaian Allah Taala ialah ilmu agama yang telah
diwahyukannya kepada Rasul-Nya. Sebabnya kerana ilmu agama ini diturunkan oleh
Allah Taala dengan dua tujuan:
Pertama: - kerana mengaturkan
hubungan manusia sesama manusia dan mengatur hubungan
manusia dengan Allah `Azza wa Jalla. Dengan ilmu agama ini Allah Taala mengajar
mereka adab peraturan yang jika diamalkan oleh seseorang
akan hiduplah ia dengan saudara-saudaranya - manusia yang lain - dalam
keadaan kasih mesra dan bersih suci dari perasaan hasad dengki.
Kedua - dengan ilmu agama ini
juga Allah Taala mengajar mereka adab peraturan yang jika
diamalkan oleh seseorang dalam hubungannya dengan Tuhan akan berjayalah ia mencapai keredhaan-Nya, iaitu dengan menjadikan dia berkehidupan bahagia di dunia dan mendapat balasan yang sebaik-baiknya di akhirat kelak.
Jika demikian natijah
mengetahui ilmu agama, maka sudah tentu
kejahilan terhadapnya membawa kecelakaan di dunia dan pada hari balasan.
Hadis ini menerangkan bahawa ilmu pengetahuan yang sayugianya
tiap-tiap seorang berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mendapatnya ialah
ilmu pengetahuan yang membawa keselamatan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat.
Maka sesiapa yang Allah
kehendaki beroleh kebaikan, disebabkan
usahanya bersungguh-sungguh mencari yang demikian, nescaya Allah jadikan dia
seorang yang memahami ilmu agama Islam dengan secara
mendalam kerana agama Islam dan ilmu-ilmunya
adalah dari Allah untuk kebaikan umat manusia di dunia dan di akhirat, meliputi jasmani dan
rohaninya.
(2) Allah jua yang mengurniakan ilmu pengetahuan:
Sebagaimana yang sedia
maklum, bahawa sesuatu perkara yang dihajati tidak akan tercapai melainkan
dengan menjalankan usaha yang bersungguh-sungguh dan menurut peraturan yang
tertentu, lebih-lebih lagi ilmu pengetahuan agama, itupun tidak cukup
melainkan dengan adanya pertolongan dan limpah
kurnia Allah memberikan orang itu
persediaan untuk memahami makna dan maksud
sesuatu masalah yang dituntut itu sekadar kemampuannya.
Rasulullah s.a.w. telah pun
menyampai dan membahagikan segala apa yang diperintahkan dengan sehabis-habis
daya usahanya dengan tidak mengutamakan seseorang atau sesuatu kaum dan yang lain dengan cara yang demikian sepatutnya
orang-orang yang menerima itu sama keadaannya tentang faham
dan pendapatnya mengenai perkara yang disampai dan dibahagikan oleh Baginda,
tetapi apa yang telah berlaku adalah berlainan. Demikian pula halnya
alim ulama yang menjadi waris Baginda untuk menyampaikan ilmu pengetahuan agama, mereka hanya menyampaikan dan menerangkan
sekadar yang diilhamkan Allah kepada mereka untuk berbuat demikian.
Tentang adanya perbezaan faham - dalam dan ceteknya, luas dan sempitnya - di
antara orang-orang yang menerima penyampaian itu mengenai
rahsia sesuatu hukum syarak maka yang demikian bukanlah tanggungan pihak yang
menyampaikan bahkan fahaman yang luas dan mendalam itu adalah limpah kurnia Allah yang
diberikannya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya menurut
peraturan-Nya.
(3) Sebahagian dari umat Muhammad S.A.W. tetap terus menjalankan kebenaran.
Dalam hadis ini Rasulullah s.a.w. memberikan berita gembira
tentang kebenaran agama Islam - dengan sifatnya agama yang diturunkan oleh Allah
Taala untuk kebaikan jasmani dan rohani serta kebahagiaan dunia dan akhirat -
tetap terpelihara sekalipun dicuaikan dan tidak dihargai oleh
golongan-golongan yang hanya mementingkan kebendaan semata-mata sebagaimana yang ternyata pada masa akhir-akhir ini.
Agama Islam yang demikian
keadaannya tetap dijalankan oleh sebahagian dari umatnya dengan tidak tercacat
bawaan mereka oleh sebarang angkara dari pihak yang menyalahinya sehingga
datang perintah Allah `Azza wa Jalla
mematikan sekalian orang yang beriman dan
tinggallah sahaja orang-orang yang tidak tahu menyebut nama "Allah" pun, maka
pada zaman mereka inilah akan berlakunya hari
qiamat.
Hadis ini juga memberi semangat dan menjamin keselamatan
orang-orang Islam yang menjalankan perintah Allah dan Rasul-Nya dengan
sempurna.
Hadis Kedua Puluh
Lima
25- عَنْ أَبِي مُوسَى الْأَشْعَرِيِّ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَثَلُ مَا بَعَثَنِي اللَّهُ بِهِ مِنْ الْهُدَى
وَالْعِلْمِ كَمَثَلِ الْغَيْثِ الْكَثِيرِ أَصَابَ أَرْضًا فَكَانَ مِنْهَا
نَقِيَّةٌ قَبِلَتْ الْمَاءَ فَأَنْبَتَتْ الْكَلَأَ وَالْعُشْبَ الْكَثِيرَ
وَكَانَتْ مِنْهَا أَجَادِبُ أَمْسَكَتْ الْمَاءَ فَنَفَعَ اللَّهُ بِهَا النَّاسَ
فَشَرِبُوا وَسَقَوْا وَزَرَعُوا وَأَصَابَتْ مِنْهَا طَائِفَةً أُخْرَى إِنَّمَا
هِيَ قِيعَانٌ لَا تُمْسِكُ مَاءً وَلَا تُنْبِتُ كَلَأً فَذَلِكَ مَثَلُ مَنْ
فَقُهَ فِي دِينِ اللَّهِ وَنَفَعَهُ مَا بَعَثَنِي اللَّهُ بِهِ فَعَلِمَ
وَعَلَّمَ وَمَثَلُ مَنْ لَمْ يَرْفَعْ بِذَلِكَ رَأْسًا وَلَمْ يَقْبَلْ هُدَى
اللَّهِ الَّذِي أُرْسِلْتُ بِهِ. (البخاري
ومسلم)
25 - Dari Abu Musa Al-Asy'ari r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Bandingan apa yang Allah utuskan aku membawanya
dari hidayat petunjuk dan ilmu pengetahuan, adalah
sama seperti hujan lebat yang menimpa bumi, maka
terdapat sebahagian dari bumi itu tanah yang subur, yang menerima dan menyedut air hujan itu, lalu menumbuhkan
rumput dan tumbuh-tumbuhan yang banyak dan terdapat
sebahagian daripadanya tanah-tanah yang keras yang hanya menampung air (tidak menyedutnya), maka Allah menjadikan dia bermanfaat kepada manusia, lalu mereka minum dan memberi minum serta mereka menanam (dan menjirus tanaman mereka); dan terdapat pula
sebahagian daripadanya tanah-tanah yang lain, yang keadaannya hanyalah
tanah-tanah rata yang keras yang tidak lekat air
(sedikit pun), dan tidak dapat menumbuhkan rumput. Demikianlah orang yang
mempunyai fahaman yang teliti dalam hukum-hukum
agama Allah dan (bandingan orang) yang beroleh manfaat dari apa yang Allah utuskan aku membawanya, lalu ia mengetahuinya dan
mengajarkannya kepada orang lain dan juga bandingan orang yang tidak
hiraukan langsung (ilmu yang aku sampaikan) itu dan tidak mahu pula menerima
pertunjuk Allah yang aku diutuskan membawanya."
(Bukhari, Muslim dan
Nas'ie)
Hadis yang kedua puluh lima
ini menerangkan:
Kelebihan orang yang mengambil dan memberi manfaat dengan ilmu
agama dan orang yang
sebaliknya.
Huraiannya:
Rasulullah s.a.w. diutuskan untuk membawa jalan pimpinan dan pertunjuk serta ilmu pengetahuan kepada umat manusia. Apa yang dibawa oleh Baginda itu bukan semua orang menerimanya dan bukan semua menolaknya. Untuk menjelaskan hal yang demikian Baginda membuat perbandingan yang bermaksud:
Rasulullah s.a.w. diutuskan untuk membawa jalan pimpinan dan pertunjuk serta ilmu pengetahuan kepada umat manusia. Apa yang dibawa oleh Baginda itu bukan semua orang menerimanya dan bukan semua menolaknya. Untuk menjelaskan hal yang demikian Baginda membuat perbandingan yang bermaksud:
Hati manusia dengan ilmu
pengetahuan adalah ibarat bumi dengan air. Ada sebahagian
dari bumi yang tanahnya apabila ditimpa hujan ia menyedutnya dan menumbuhkan
tanaman yang berguna kepada makhluk-makhluk yang hidup. Demikian juga halnya
hati manusia, ada di antaranya yang menerima ilmu dan
menghafaznya serta ia menerima kesan dan pengaruh ilmu itu,
yang menjadikan dia beramal dengannya dan mengajarkannya kepada
orang lain. Hati manusia yang sedemikian ini adalah sebaik-baik hati yang
berhak dipuji dan dihormati.
Ada pula sebahagian dari bumi
yang tanahnya apabila ditimpa hujan ia akan menampung airnya dan memeliharanya
dari meresap hilang dan dengan itu dapat digunakan oleh
makhluk-makhluk yang lain, tetapi tanah itu sendiri tidak
mendapat manfaat daripadanya dan tidak menumbuhkan
tanaman; ia hanya dapat menumpang air untuk faedah makhluk-makhluk yang memerlukannya. Demikian juga halnya hati manusia,
ada di antaranya yang menerima ilmu pengetahuan dan
menghafaznya dan dapat pula mengajarkannya kepada orang lain, tetapi ia sendiri
tidak mendapat faedah beramal dengannya. Manusia yang hatinya
demikian kalau ia telah berbuat baik dari segi
menghafaz dan menyampaikannya kepada orang lain, tetapi ia telah melakukan
perkara yang buruk, kerana ia tidak beramal dengannya, sedang
tujuan beroleh ilmu ialah untuk beramal
menurutnya.
Di antaranya ada pula bumi
yang tanahnya tidak beroleh faedah dari air dan tidak
dapat menahannya serta tidak dapat menumbuhkan sebarang tanaman. Demikianlah pula hati manusia ada di antaranya yang tidak dapat
menerima ilmu pengetahuan dan dengan itu tidak dapat beramal dengannya. Hati
manusia yang demikian keadaannya adalah sejahat-jahat hati dan seburuk-buruknya,
kerana ia tidak mempunyai bahagian langsung dalam
kebaikan, sama ada ilmu pengetahuan
atau amal perbuatan, bahkan ia seperti haiwan, bahkan haiwan pun lebih baik lagi, kerana
haiwan itu tidak akan mendapat balasan seperti yang akan
didapati oleh manusia yang demikian keadaannya.
Kesimpulannya, hati
manusialah yang wajib dibaiki supaya senang menerima apa yang telah dibawa oleh Rasulullah s.a.w. demi untuk
mencapai kebahagiaan.
Hadis Kedua Puluh
Enam
26- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ
اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ نَفَّسَ عَنْ مُؤْمِنٍ كُرْبَةً
مِنْ كُرَبِ الدُّنْيَا نَفَّسَ اللَّهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ يَوْمِ
الْقِيَامَةِ وَمَنْ يَسَّرَ عَلَى مُعْسِرٍ يَسَّرَ اللَّهُ عَلَيْهِ فِي
الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللَّهُ فِي الدُّنْيَا
وَالْآخِرَةِ وَاللَّهُ فِي عَوْنِ الْعَبْدِ مَا كَانَ الْعَبْدُ فِي عَوْنِ
أَخِيهِ وَمَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا سَهَّلَ اللَّهُ لَهُ
بِهِ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ وَمَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ
اللَّهِ يَتْلُونَ كِتَابَ اللَّهِ وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ إِلَّا نَزَلَتْ
عَلَيْهِمْ السَّكِينَةُ وَغَشِيَتْهُمْ الرَّحْمَةُ وَحَفَّتْهُمْ الْمَلَائِكَةُ
وَذَكَرَهُمْ اللَّهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ وَمَنْ بَطَّأَ بِهِ عَمَلُهُ لَمْ يُسْرِعْ
بِهِ نَسَبُهُ. (مسلم وأبو داود والترمذي)
26 - Dari Abu Hurairah r.a.,
dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Sesiapa yang menolong memberi nafas baharu kepada seseorang mukmin yang mengalami kesusahan yang menyesakkannya dari kesusahan-kesusahan dunia, nescaya Allah menolong melegakan
kesusahan yang menyesakkannya dan kesusahan-kesusahan hari
qiamat dan sesiapa yang menolong memudahkan susah payah seseorang,
nescaya Allah menolong memudahkan susah payahnya di
dunia dan di akhirat dan sesiapa yang menutup keaipan seseorang Islam, nescaya Allah menutup keaipannya di dunia dan di akhirat dan Allah tetap memberikan pertolongan yang diperlukan oleh seseorang, selagi orang itu
memberikan pertolongan kepada saudaranya dan sesiapa yang
berusaha menjalankan sebarang cara yang menyampaikannya
mencapai ilmu pengetahuan, Allah akan
memberi kemudahan kepadanya dengan usahanya itu untuk mendapat jalan yang membawanya ke Syurga dan tidak berhimpun
sesuatu kaum dalam salah satu tempat dan tempat-tempat (yang
dikhaskan untuk mencapai keredhaan) Allah dengan keadaan mereka membaca kitab Allah Al-Qur'an dan mentadarusnya sesama
sendiri melainkan turunlah ketenteraman kepada mereka
dan mereka pula diliputi oleh rahmat, juga mereka
dikelilingi oleh malaikat, serta mereka dipuji oleh Allah Taala dalam kalangan
makhluk-makhluk yang mulia di sisi-Nya dan sesiapa yang dilambatkan oleh amal
usahanya (dari mencapai kebaikan), tidak akan dapat disegerakannya oleh
nasab keturunannya".
(Muslim, Abu Daud dan Tirmizi)
Hadis yang kedua puluh enam
ini menerangkan tentang:
(1)
Galakan memberi pertolongan.
(2)
Balasan usaha menuntut Ilmu.
(3)
Rahmat dan pujian Tuhan didapati oleh orang-orang yang berhimpun membaca dan
mengulangkaji kitab Allah.
(4) Amalan seseorang
sahajalah yang menentukan maju mundnrnya.
Huraiannya:
(1) - Galakan memberi
pertolongan.
Tiap-tiap orang dalam
alam kehidupan dunia ini sudah
tentu mempunyai hajat-hajat dan kemahuan untuk mendapat manfaat dan mengelakkan mudarat, sedang
hajat-hajat dan kemahuan itu sebahagian besarnya tidak
dapat dicapai melainkan dengan jalan bantu membantu dan tolong menolong antara satu
dengan yang lain.
Keadaan yang demikian, tidak
terlepas daripadanya seseorang pun, walau pun ia dari
golongan yang senang lenang atau yang
mempunyai kuasa. Oleh itu maka hidup secara bermasyarakat adalah
suatu tabiat semula jadi umat manusia.
Maksud hadis ini di antara lain menerangkan bahawa:
Memberikan pertolongan kepada orang yang memerlukannya
sama ada pertolongan itu kecil atau besar, amatlah baik kesudahannya kerana ia bukan sahaja akan
mendapat pertolongan dan orang lain kelak, bahkan Allah Aza wa Jalla
tetap memberikan pertolongan yang sejenis dengan
perbuatannya yang baik itu - bukan sahaja di dunia bahkan di akhirat
kelak. Maka alangkah bahagianya orang yang mendapat pertolongan dari Allah
(S.W.T.) pada hari yang tidak ada sesiapa pun dapat
memberikan sebarang pertolongan?
Di antara pertolongan yang
sangat-sangat digalakkan ialah:
Pertama - Menolong
meringankan penderitaan dan memberi nafas
baru kepada mana-mana orang mukmin yang menanggung
sesuatu kesusahan yang menyesakkannya dan soal-soal hidup dalam alam dunia ini.
Sebenarnya pertolongan itu
tidak terhad kepada orang-orang mukmin sahaja bahkan
umum kepada tiap-tiap seorang manusia yang tidak memusuhi Islam dan juga kepada tiap-tiap haiwan yang lain dan binatang-binatang yang dibenarkan atau disuruh oleh agama
membunuhnya.
Kedua - Menolong memberi
kemudahan kepada sesiapa jua yang mengalami kepayahan,
yang dituntut oleh Islam menolongnya.
Misalnya: Orang yang
menanggung hutang sedang ia tidak dapat membayarnya pada
masa yang ditetapkan, maka orang yang demikian
keadaannya dikehendaki menolongnya dengan jalan dibebaskan dari semua
atau dari sebahagian hutang yang ditanggungnya
atau pun diberi tempoh yang lain untuk memudahkan ia membayarnya.
Atau seseorang Islam yang
sedang mengalami susah payah dalam sesuatu masalah agama, maka dikehendaki menolongnya dengan satu fatwa yang melepaskannya dan kesusahannya itu sekalipun fatwa itu tidak berdasarkan mazhab yang biasa diamalkannya.
Ketiga - Menolong menutup
kesalahan atau keaipan orang Islam.
Menurut beberapa buah
hadis, bahawa sesiapa yang mendedahkan keaipan saudaranya, nescaya Allah akan mendedahkan keaipannya sekalipun di rumahnya sendiri.
Sayugia disebut, manusia itu dua jenis:
(a) - Orang yang tidak
terkenal melakukan sesuatu maksiat, maka orang yang
demikian, kalaulah ia terlanjur melakukan sesuatu perkara yang buruk, maka dialah orang yang dikehendaki diberi pertolongan menutup
keburukan atau keaipan yang dilakukannya dan tidak
harus didedahkan atau diperkatakan, kerana
perbuatan yang demikian adalah perbuatan mengumpat yang nyata haramnya.
(b) - Orang yang terkenal
berperangai buruk dan selalu melakukan maksiat, yang tidak menghiraukan apa yang dilakukannya dan tidak pula
mengambil indah kepada apa yang dikatakan kepadanya maka
orang yang demikan keadaannya dituntut membongkar kesalahannya
supaya ia menerima hukuman.
Pertolongan menutup
kesalahan dan keaipan seseorang Islam itu adalah dengan
beberapa syarat:
Pertama - kesalahan yang
dilakukan itu berhubung dengan hak Allah Taala.
Kedua - kesalahan itu
dilakukan pada masa yang lalu.
Ketiga - kesalahan itu
dilakukan oleh orang yang tidak terkenal berperangai buruk dan selalu melakukan maksiat.
Keempat - orang itu tidak
menjadi saksi atau rawi hadis atau pemegang amanah dan
lain-lainnya dan orang-orang yang semestinya bersifat adil dan amanah.
Kesimpulannya: Orang yang
memberikan pertolongan yang tersebut, tetap beroleh pertolongan Allah sebagai balasan yang
sebaik-baiknya.
(2) - Balasan usaha menuntut ilmu:
Oleh kerana jalan-jalan dan
cara bagi mencapai ilmu agama itu banyak, yang menghendaki seseorang penuntut berusaha dengan
bersungguh-sungguh membanyakkan membaca, menulisnya,
menghafaznya dan mengkaji serta saling ingat-mengingati sesama penuntut, maka Rasulullah s.a.w. memberi jaminan kepada orang yang menjalankan usaha itu, bahawa Allah Taala akan
memudahkan baginya segala jalan yang menyampaikannya ke Syurga.
(3) Kelebihan berhimpun membaca
Al-Qur'an dan mentadarusnya:
Berhimpun atau berjemaah
dalam mengerjakan sesuatu amal ibadat, sangat-sangat
digalakkan oleh Islam; di antaranya berhimpun membaca
Al-Qur'an dan mentadarusnya, kerana Rasulullah s.a.w.
menggalakkan umatnya berbuat demikian dengan menyatakan
bahawa mereka diberi perasaan ketenangan hati, dicucuri
rahmat dalam segenap keadaan, dilingkungi oleh
malaikat-malaikat berkat dan puji oleh Allah Taala dalam
kalangan makhluk-makhluk yang mulia di sisi-Nya.
Keadaan yang demikian
sangat-sangat dituntut untuk memimpin seseorang ke jalan mencapai keselamatan di dunia dan di akhirat, kerana sebahagian besar dari kacau bilau dan perbuatan maksiat adalah akibat dari dorongan
jiwanya yang tidak ada perasaan ketenangan dan tidak dicucuri
oleh rahmat Allah; dan sebaliknya perbuatan-perbuatan baik yang menatijahkan keselamatan adalah dari jiwa
yang bersih dan tenang serta mendapat cucuran
rahmat Allah `Aza wa Jalla.
Empat kelebihan yang diberikan kepada orang-orang yang berhimpun membaca Al-Qur'an dan
mentadarusnya itu diberikan juga kepada orang-orang yang berhimpun dalam
majlis zikir (majlis menyebut dan
mengingati Allah), sebagaimana yang tersebut dalam hadis
Muslim.
Hadis Muslim ini, menurut
pendapat Al-Saghani dalam syarh "Masyariq al-Anwar"
adalah menjadi dalil tentang kelebihan tiap-tiap
kumpulan yang berhimpun kerana Allah membaca Al-Qur'an,
mendengar hadis Rasulullah s.a.w. atau mempelajari ilmu
agama.
Kelebihan berhimpun untuk
"Zikir Allah" itu diterangkan pula dalam sebuah hadis Bukhari dan Muslim yang
ringkasan maksudnya seperti berikut:
Bahawa Allah Taala mempunyai
Malaikat yang sentiasa berjalan di merata-rata tempat mencari
kumpulan yang berhimpun untuk berzikir, bertasbih, bertakbir dan bertahmid; apabila mereka berjumpa kumpulan
ahli zikir itu mereka panggil memanggil sesama
sendiri lalu mengerumuni kumpulan itu serta menaunginya dengan sayap mereka
berlapis-lapis hingga ke langit dunia. Setelah mereka
mengadap Tuhan dan menjawab beberapa pertanyaan,
maka Tuhan menyatakan kepada mereka dengan firman-Nya: "Hendaklah kamu menjadi
saksi bahawa Aku telah mengampunkan dosa mereka sekaliannya."
Mendengarkan firman Allah itu, salah satu di antara Malaikat yang tersebut
berkata: "(Ya Tuhan Kami!) dalam kalangan ahli zikir itu ada seorang yang hanya datang kerana satu hajat yang lain, lalu duduk dengan mereka." Allah
Taala menjawab: "Kumpulan itu ialah orang-orang yang
sempurna kebaikannya, dengan kesempurnaan mereka tidak
akan hampa orang yang duduk bersama-sama
mereka".
(4) Amalan seseorang jualah yang menentukan maju mundurnya:
Dalam hadis ini Rasulullah
s.a.w. menegaskan: Bahawa seseorang yang ingin membela nasibnya wajiblah ia
belajar dan berusaha serta beramal; tidak harus ia bergantung kepada keadaan nasab keturunannya, kerana
Tuhan telah berfirman yang maksudnya: "Dan bagi tiap-tiap seorang, beberapa
darjat (tingkatan balasan) disebabkan apa yang mereka telah kerjakan"; demikian
juga Rasulullah s.a.w. pernah bersabda mengingatkan kaum kerabatnya bahkan buah hatinya yang dikasihi, Sayidatina Fatimah, r.a.,
supaya masing-masing menebus diri dari
azab seksa, dengan amal taat yang sempurna, kerana Baginda tidak berkuasa menolak sesuatu pun dari azab seksa Tuhan
itu.
Sayugia direnung dan diteliti
isi hadis ini, kalau Rasulullah s.a.w. sendiri telah menyatakan tidak sanggup
mengelakkan azab seksa dari anaknya Sayidatina Fatimah r.a.,
kalau ditakdirkan cuainya dari beramal, pada hal Rasulullah s.a.w. ialah Rasulullah dan Sayidatina Fatimah ialah anaknya
yang dikasihi, maka betapalah pula orang yang cuai menjalankan perintah beramal dengan mengharapkan kelebihan nasab
keturunannya atau kebangsawanannya dan betapa pula halnya orang yang tergamak
menyanggup memberi pertolongan, pada "hari
seseorang tidak dapat memberikan pertolongan sedikit pun kepada orang lain dan segala perkara pada hari itu tertentu bagi
Allah! "
Subscribe to:
Posts (Atom)