Followers

Tuesday, January 29, 2013

WAJIB MENUNTUT ILMU AGAMA DAN KELEBIHANNYA

WAJIB MENUNTUT ILMU AGAMA DAN KELEBIHANNYA
Firman Allah Taala, maksudnya: ".. bertanyalah kamu kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahuinya." (43, An-Nahl dan 7, Al-Anbia').
Hadis Kedua Puluh
20- عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ طَلَبُ الْعِلْمِ فَرِيضَةٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ. (ابن ماجه وغيره)
20 - Dari Anas bin Malik r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Menuntut ilmu adalah satu fardu yang wajib atas tiap-tiap seorang Islam."
(Ibnu Majah dan Lain-lainnya).
Hadis yang kedua puluh ini mewajibkan tiap-tiap orang Islam - lelaki dan perempuan - mempelajari ilmu agama. 
Huraiannya:
Oleh kerana sesuatu pekerjaan dari yang sekecil-kecilnya hingga yang sebesar-besarnya tidak dapat dilakukan dengan
teratur dan sempurna melainkan dengan ilmu pengetahuan yang berkenaan dengannya, maka nyatalah wajibnya seseorang mempelajari hukum dan peraturan Islam bagi apa sahaja perkara yang hendak dilakukannya sebagai wajib fardu ain. 
Menurut kitab Al-Furuq dan "Tahzib al-Furuq" bahawa Imam Ghazali dalam kitabnya "Ihya-'Ulumuddin" dan Imam Asy-Syafi'i dalam kitabnya "Ar-Risalah" menerangkan;  Bahawa telah sekata alim ulama, tidak harus seseorang cuba melakukan sesuatu perkara sehingga ia mengetahui lebih dahulu hukum-hukum Allah mengenai perkara yang hendak dilakukannya itu; - orang yang hendak berjual beli wajib mempelajari hukum Allah mengenainya dan orang yang hendak menyewa,  memberi sewa,  mengupah dan mengambil upah wajib mempelajari hukum Allah mengenainya. Demikian juga orang yang hendak sembahyang wajib mempelajari hukum Allah mengenal sembahyang. Demikian seterusnya segala perkataan yang hendak dikatakan dan segala amal yang hendak dikerjakan. Maka sesiapa yang mengetahui hukum Allah dan beramal menurut apa yang diketahuinya, sudah tentu ia telah mentaati Allah dengan dua taat dan sesiapa yang tidak mengetahui dan tidak pula beramal, sudah tentu ta telah menderhaka kepada Allah dengan dua kederhakaan; dan sesiapa yang mengetahui hukum Allah dan tidak beramal mengikutNya, maka ia telah mentaati Allah dengan satu taat dan menderhaka kepadaNya dengan satu kederhakaan.
Sayugia diingat, bahawa ilmu agama itu bukan satu perkara yang mudah didapati bahkan mestilah dipelajari dan diterima dari orang Islam yang betul-betul dan sah ilmunya serta jujur dan adil dalam penyampaiannya, sebagaimana yang diterangkan dalam hadis Rasulullah s.a.w. yang maksudnya: "Sesungguhnya ilmu yang sah dan muktabar itu tidak akan dapat dicapai melainkan dengan dipelajari dari guru"; bukan semata-mata dari buku-buku, lebih-lebih lagi yang dikarang oleh orang-orang orientalis,  yang kebanyakannya menghidangkan madu bercampur racun.
Hadis Kedua Puluh Satu
21- عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرِو رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الْعِلْمُ ثَلَاثَةٌ وَمَا سِوَى ذَلِكَ فَهُوَ فَضْلٌ آيَةٌ مُحْكَمَةٌ أَوْ سُنَّةٌ قَائِمَةٌ أَوْ فَرِيضَةٌ عَادِلَةٌ. (أبو داود وابن ماجه)
21 - Dari Abdullah bin 'Amr r.a., dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Ilmu yang menjadi asas (bagi ilmu-ilmu yang dikehendaki oleh agama) adalah tiga dan yang lain dari itu adalah ilmu yang lebih;  - ilmu-ilmu yang tiga itu ialah: Ayat Al-Qur'an yang terang nyata dan tidak dimansukhkan hukumnya; atau "Sunnah" (hadis) yang sah datangnya dari Rasulullah s.a.w., yang tetap kekal atau ketetapan dan keputusan yang betul sama seimbang (dengan kehendak kitab Allah dan sunnah RasulNya)"
( Abu Daud dan Ibnu Majah)
Hadis yang kedua puluh satu ini menerangkan:
1) Ilmu yang menjadi asas bagi ilmu-ilmu
agama.
2) Ilmu-ilmu yang
lebih (yang tidak dikehendaki oleh agama).
Huraiannya:
1) Ilmu-ilmu agama itu terbahagi dua:
Pertama - Ilmu-ilmu yang telah ditetapkan Tuhan menjadi Asas. 
Kedua - Ilmu-ilmu yang dikehendaki oleh asas itu.
Bahagian yang pertama - Ilmu-ilmu yang ditetapkan menjadi asas itu ialah:
(1) Ayat-ayat Al-Qur'an yang terang nyata dan tidak dimansukhkan hukumnya, yang menjadi asas untuk dirujukkan kepadanya ayat-ayat Al-Qur'an yang "Mutasyabihat" (yang tidak jelas maksudnya).
(2) "Sunnah" atau "Hadis"
Rasulullah s.a.w. yang meliputi perkataannya, perbuatannya dan taqrirnya (ketiadaan larangannya), yang sah datangnya dari Baginda dan berkekalan diamalkan, kerana ialah yang menjadi keterangan dan ulasan bagi kitab Allah Al-Qur'an al-Karim.
(3)
Ketetapan dan keputusan yang betul sama seimbang dengan kehendak kitab Allah dan sunnah Rasul-Nya, yang ditetapkan atau diputuskan dengan jalan "ijma'" (kata sepakat alim ulama), atau dengan jalan "Qiyas" (bandingan sesuatu perkara yang belum ada hukumnya dengan perkara yang telah ada hukumnya).
Bahagian yang kedua - ilmu-limu yang dikehendaki oleh asas itu ialah:
Ilmu-ilmu yang ada hubungannya dengan kehendak-kehendak tata bahasa dan kesusasteraan Arab, juga yang ada hubungannya dengan pengertian maksud dan
pengambilan hukum-hukum syarak (Istinbat); ilmu perubatan untuk menjaga dan memelihara kesihatan dan seterusnya ilmu-ilmu kemasyarakatan, pembangunan, perniagaan,  perindustrian,  pertanian, perikanan, pelayaran, penerbangan dan sebagainya dari tiap-tiap ilmu pengetahuan yang dikehendaki adanya dan tak dapat ditinggalkan untuk menjalankan segala urusan pentadbiran dan pertahanan negara meliputi segala jenis ilmu pengetahuan sains dan teknologi yang diperlukan oleh keadaan dan masa,  asalkan tidak bertentangan dengan asas yang tiga itu.
(2) Ilmu-ilmu yang lebih (yang tidak dikehendaki oleh agama).
Ilmu-ilmu yang lebih (yang tidak dikehendaki oleh agama) itu ialah:
Tiap-tiap ilmu pengetahuan yang tidak berdasarkan salah satu dari kitab Allah dan sunnah Rasul-Nya, lebih-lebih lagi yang bertentangan dengan kandungan keduanya atau dengan yang difahamkan dari keduanya, atau pun ilmu pengetahuan yang tak dapat memberi pertolongan untuk memahami kandungan keduanya.
Ilmu yang tersebut yang bukan sahaja tidak perlu dipelajari, bahkan boleh jadi ia dari ilmu-ilmu yang tidak memberi manfaat yang disuruh oleh Rasulullah s.a.w. supaya umatnya memohon dilindungi dan dijauhi oleh Allah Taala daripadanya, lebih-lebih lagi ilmu yang membahayakan diri sendiri atau orang lain, seperti ilmu sihir,  ilmu nujum (Astrologi) dan sebagainya.
Hadis Kedua Puluh Dua
22- عَنِ ابْنِ مَسْعُودٍ قَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَعَلَّمُوا الْعِلْمَ وَعَلِّمُوهُ النَّاسَ تَعَلَّمُوا الْفَرَائِضَ وَعَلِّمُوهُ النَّاسَ تَعَلَّمُوا الْقُرْآنَ وَعَلِّمُوهُ النَّاسَ فَإِنِّي امْرُؤٌ مَقْبُوضٌ وَالْعِلْمُ سَيُقْبَضُ وَتَظْهَرُ الْفِتَنُ حَتَّى يَخْتَلِفَ اثْنَانِ فِي فَرِيضَةٍ لَا يَجِدَانِ أَحَدًا يَفْصِلُ بَيْنَهُمَا. (الدارمي والدارقطني)
22 - Dari Ibnu Mas'ud ra., dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Pelajarilah ilmu-ilmu agama dan ajarkanlah dia kepada orang ramai;  - pelajarilah perkara-perkara yang difardukan dalam Islam dan ajarkanlah dia kepada orang ramai;  pelajarilah Al-Qur'an dan ajarkanlah dia kepada orang ramai; kerana sebenarnya aku seorang yang akan mati (seperti makhluk-makhluk yang lain) dan ilmu juga akan diambil (kembali oleh Tuhan dan hilang lenyap) dan akan lahirlah berbagai-bagai fitnah kekacauan sehingga akan berselisih dua orang dalam satu perkara yang difardukan, yang mereka tak dapat seorang pun yang boleh menyelesaikan perkara yang diperselisihkan itu".
(Ad-Darimi dan Ad-Daruqutni)
Hadis yang kedua puluh dua ini mengandungi:
(1)
Perintah belajar dan mengajar.
(2)
Amaran tentang kehilangan Ilmu dan akibatnya.
Huraiannya:
(1) Perintah belajar dan mengajar:
Ilmu yang diperintahkan belajar dan mengajarnya, sebagaimana yang diterangkan dalam hadis ini ialah:
Pertama - Segala ilmu
pengetahuan yang berhubung dengan agama.
Kedua - Ilmu yang difardukan seseorang mempelajarinya untuk bawaan dirinya sendiri dan juga untuk orang lain.
Ketiga - Ilmu yang berhubung secara
khusus dengan Al-Qur'an.
Sebagai sebuah kitab suci,  kalam Allah yang wajib dijaga dan dipelihara dari sebarang pindaan dan pengubahan, baik pada sebutannya mahu pun pada cara bacaannya, maka Rasulullah s.a.w. menegaskan secara khusus tentang wajibnya belajar dan mengajar ilmu yang tersebut untuk mengesahkan benarnya apa yang dijaminkan oleh Allah Taala pada ayat 9, Surah Al-Hijr, yang bermaksud:  "Sesungguhnya Kami menurunkan Al-Qur'an dan Kamilah yang memeliharanya."
(2) Amaran tentang kehilangan ilmu dan akibatnya:
Oleh sebab Rasulullah s.a.w. ialah yang menyampaikan ilmu-ilmu agama dan Baginda juga seorang manusia yang akan mati maka Baginda menyuruh umatnya belajar dan mengajar segala jenis ilmu pengetahuan yang disampaikannya, kerana dengan kecuaian belajar dan mengajar maka ilmu pengetahuan akan beransur-ansur hilang,  sehinggakan perkara-perkara fardu yang seorang mesti mengerjakannya pun akan berlaku padanya perselisihan dengan tidak didapati orang yang boleh menyelesaikannya.
Hadis Kedua Puluh Tiga
23- عَنْ أَبِي بَكْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ اغْدُ عَالِمًا أَوْ مُتَعَلِّمًا أَوْ مُسْتَمِعًا أَوْ وَلَا تَكُنِ الخَامِسَةَ فَتَهْلِكَ. (البزار)
23- Dari Abu Bakrah ra., Dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Jadikanlah dirimu orang alim atau orang yang menuntut ilmu atau orang yang selalu mendengar pelajaran agama, atau pun orang yang mencintai (tiga golongan yang tersebut); dan janganlah engkau menjadi (dari) golongan yang kelima, yang dengan sebabnya engkau akan binasa."
(Al-Bazzar)
Hadis yang kedua puluh tiga ini menyuruh supaya tiap-tiap seorang menentukan sikapnya terhadap ilmu agama. 
Huraiannya:
Tiap-tiap seorang dikehendaki
menentukan sikapnya terhadap ilmu pengetahuan agama dengan salah satu dari empat cara,  iaitu menjadikan dirinya orang alim yang mengajar atau orang yang belajar atau orang yang mendengar syarahan-syarahan agama atau pun orang yang mencintai dan menghargai salah satu dari tiga golongan yang tersebut dengan menurut jejak langkahnya.
Dengan sikap yang demikian, seseorang itu terjamin untuk mendapat keselamatan dan kebahagiaan, sama ada dalam perkara jasmaninya mahu pun rohaninya, kerana ia sentiasa dalam jagaan ilmu pengetahuan yang memimpinnya ke jalan yang benar dan memberinya kesedaran untuk
memilih yang baik dari yang buruk dan yang hak dari yang batil.
Ada pun golongan yang kelima, iaitu yang tidak termasuk dalam salah satu dari empat golongan yang tersebut, maka mereka adalah golongan yang binasa, kerana mereka tidak ada pimpinan yang dengannya mereka dapat membezakan di antara yang benar dengan yang salah.
Imam Mawardi menyatakan: Bahawa orang yang menganggap ilmu syarak itu tidak ada faedahnya dipelajari dan lebih baik sahaja ditinggalkan,  sebenarnya orang itu tenggelam dalam kesesatan dan jauh dan mendapat hidayat pertunjuk, serta ia termasuk dalam golongan yang kelima yang binasa.
Hadis Kedua Puluh Empat
24- عَنْ مُعَاوِيَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ يُرِدِ اللَّهُ بِهِ خَيْرًا يُفَقِّهْهُ فِي الدِّينِ وَإِنَّمَا أَنَا قَاسِمٌ وَاللَّهُ يُعْطِي وَلَنْ تَزَالَ هَذِهِ الْأُمَّةُ قَائِمَةً عَلَى أَمْرِ اللَّهِ لَا يَضُرُّهُمْ مَنْ خَالَفَهُمْ حَتَّى يَأْتِيَ أَمْرُ اللَّهِ. (البخاري ومسلم)
24 - Dari Muawiyah r.a., dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Sesiapa yang dikehendaki Allah mendapat kebaikan, nescaya dijadikan dia seorang yang beroleh fahaman yang teliti dalam perkara agama dan bahawa sesungguhnya aku ini hanyalah yang membahagikan, sedang Allah Taala jualah yang memberi dan sebahagian dari umatku ini tetap terus menjalankan agama Allah,  tidak ada sesiapa pun dari kalangan orang-orang yang menyalahi mereka dapat merosakkan mereka, sehinggalah datang perintah Allah."
(Bukhari dan Muslim)

No comments:

Post a Comment