Followers

Tuesday, January 29, 2013

Sambungan...

Hadis yang kedua puluh empat ini menerangkan: 
(1) Kelebihan orang yang dikurniakan fahaman yang teliti dalam perkara agama.
(2) Allah jualah yang mengurniakan ilmu pengetahuan. 
(3) Sebahagian dari umat Muhammad s.a.w. tetap terus menjalankan kebenaran. 
Huraiannya:
(1) Kelebihan orang yang dikurniakan fahaman yang teliti dalam perkara agama:
Di antara ilmu-ilmu agama yang utama sekali pada nilaian Allah Taala ialah ilmu agama yang telah diwahyukannya kepada Rasul-Nya. Sebabnya kerana ilmu agama ini diturunkan oleh Allah Taala dengan dua tujuan: 
Pertama: - kerana mengaturkan hubungan manusia sesama manusia dan mengatur hubungan manusia dengan Allah `Azza wa Jalla. Dengan ilmu agama ini Allah Taala mengajar mereka adab peraturan yang jika diamalkan oleh seseorang akan hiduplah ia dengan saudara-saudaranya - manusia yang lain - dalam keadaan kasih mesra dan bersih suci dari perasaan hasad dengki. 
Kedua - dengan ilmu agama ini juga Allah Taala mengajar mereka adab peraturan yang jika diamalkan oleh seseorang dalam hubungannya dengan Tuhan akan berjayalah ia mencapai keredhaan-Nya, iaitu dengan menjadikan dia berkehidupan bahagia di dunia dan mendapat balasan yang sebaik-baiknya di akhirat kelak.
Jika demikian natijah mengetahui ilmu agama,  maka sudah tentu kejahilan terhadapnya membawa kecelakaan di dunia dan pada hari balasan. 
Hadis ini menerangkan bahawa ilmu pengetahuan yang sayugianya tiap-tiap seorang berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mendapatnya ialah ilmu pengetahuan yang membawa keselamatan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat.
Maka sesiapa yang Allah kehendaki beroleh kebaikan,  disebabkan usahanya bersungguh-sungguh mencari yang demikian, nescaya Allah jadikan dia seorang yang memahami ilmu agama Islam dengan secara mendalam kerana agama Islam dan ilmu-ilmunya adalah dari Allah untuk kebaikan umat manusia di dunia dan di akhirat, meliputi jasmani dan rohaninya.
(2) Allah jua yang mengurniakan ilmu pengetahuan: 
Sebagaimana yang sedia maklum, bahawa sesuatu perkara yang dihajati tidak akan tercapai melainkan dengan menjalankan usaha yang bersungguh-sungguh dan menurut peraturan yang tertentu, lebih-lebih lagi ilmu pengetahuan agama,  itupun tidak cukup melainkan dengan adanya pertolongan dan limpah kurnia Allah memberikan orang itu persediaan untuk memahami makna dan maksud sesuatu masalah yang dituntut itu sekadar kemampuannya.
Rasulullah s.a.w. telah pun menyampai dan membahagikan segala apa yang diperintahkan dengan sehabis-habis daya usahanya dengan tidak mengutamakan seseorang atau sesuatu kaum dan yang lain dengan cara yang demikian sepatutnya orang-orang yang menerima itu sama keadaannya tentang faham dan pendapatnya mengenai perkara yang disampai dan dibahagikan oleh Baginda, tetapi apa yang telah berlaku adalah berlainan. Demikian pula halnya alim ulama yang menjadi waris Baginda untuk menyampaikan ilmu pengetahuan agama, mereka hanya menyampaikan dan menerangkan sekadar yang diilhamkan Allah kepada mereka untuk berbuat demikian.
Tentang adanya perbezaan faham - dalam dan ceteknya, luas dan sempitnya - di antara orang-orang yang menerima penyampaian itu mengenai rahsia sesuatu hukum syarak maka yang demikian bukanlah tanggungan pihak yang menyampaikan bahkan fahaman yang luas dan mendalam itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikannya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya menurut peraturan-Nya.
(3) Sebahagian dari umat Muhammad S.A.W.  tetap terus menjalankan kebenaran. 
Dalam hadis ini Rasulullah s.a.w. memberikan berita gembira tentang kebenaran agama Islam - dengan sifatnya agama yang diturunkan oleh Allah Taala untuk kebaikan jasmani dan rohani serta kebahagiaan dunia dan akhirat - tetap terpelihara sekalipun dicuaikan dan tidak dihargai oleh golongan-golongan yang hanya mementingkan kebendaan semata-mata sebagaimana yang ternyata pada masa akhir-akhir ini.
Agama Islam yang demikian keadaannya tetap dijalankan oleh sebahagian dari umatnya dengan tidak tercacat bawaan mereka oleh sebarang angkara dari pihak yang menyalahinya sehingga datang perintah Allah `Azza wa Jalla mematikan sekalian orang yang beriman dan tinggallah sahaja orang-orang yang tidak tahu menyebut nama "Allah" pun, maka pada zaman mereka inilah akan berlakunya hari qiamat.
Hadis ini juga memberi semangat dan menjamin keselamatan orang-orang Islam yang menjalankan perintah Allah dan Rasul-Nya dengan sempurna. 
Hadis Kedua Puluh Lima
25- عَنْ أَبِي مُوسَى الْأَشْعَرِيِّ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَثَلُ مَا بَعَثَنِي اللَّهُ بِهِ مِنْ الْهُدَى وَالْعِلْمِ كَمَثَلِ الْغَيْثِ الْكَثِيرِ أَصَابَ أَرْضًا فَكَانَ مِنْهَا نَقِيَّةٌ قَبِلَتْ الْمَاءَ فَأَنْبَتَتْ الْكَلَأَ وَالْعُشْبَ الْكَثِيرَ وَكَانَتْ مِنْهَا أَجَادِبُ أَمْسَكَتْ الْمَاءَ فَنَفَعَ اللَّهُ بِهَا النَّاسَ فَشَرِبُوا وَسَقَوْا وَزَرَعُوا وَأَصَابَتْ مِنْهَا طَائِفَةً أُخْرَى إِنَّمَا هِيَ قِيعَانٌ لَا تُمْسِكُ مَاءً وَلَا تُنْبِتُ كَلَأً فَذَلِكَ مَثَلُ مَنْ فَقُهَ فِي دِينِ اللَّهِ وَنَفَعَهُ مَا بَعَثَنِي اللَّهُ بِهِ فَعَلِمَ وَعَلَّمَ وَمَثَلُ مَنْ لَمْ يَرْفَعْ بِذَلِكَ رَأْسًا وَلَمْ يَقْبَلْ هُدَى اللَّهِ الَّذِي أُرْسِلْتُ بِهِ. (البخاري ومسلم)

25 - Dari Abu Musa Al-Asy'ari r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Bandingan apa yang Allah utuskan aku membawanya dari hidayat petunjuk dan ilmu pengetahuan,  adalah sama seperti hujan lebat yang menimpa bumi, maka terdapat sebahagian dari bumi itu tanah yang subur, yang menerima dan menyedut air hujan itu, lalu menumbuhkan rumput dan tumbuh-tumbuhan yang banyak dan terdapat sebahagian daripadanya tanah-tanah yang keras yang hanya menampung air (tidak menyedutnya), maka Allah menjadikan dia bermanfaat kepada manusia,  lalu mereka minum dan memberi minum serta mereka menanam (dan menjirus tanaman mereka); dan terdapat pula sebahagian daripadanya tanah-tanah yang lain, yang keadaannya hanyalah tanah-tanah rata yang keras yang tidak lekat air (sedikit pun), dan tidak dapat menumbuhkan rumput. Demikianlah orang yang mempunyai fahaman yang teliti dalam hukum-hukum agama Allah dan (bandingan orang) yang beroleh manfaat dari apa yang Allah utuskan aku membawanya, lalu ia mengetahuinya dan mengajarkannya kepada orang lain dan juga bandingan orang yang tidak hiraukan langsung (ilmu yang aku sampaikan) itu dan tidak mahu pula menerima pertunjuk Allah yang aku diutuskan membawanya."
(Bukhari, Muslim dan Nas'ie)
Hadis yang kedua puluh lima ini menerangkan: 
Kelebihan orang yang mengambil dan memberi manfaat dengan ilmu agama dan orang yang sebaliknya.
Huraiannya:
Rasulullah s.a.w. diutuskan untuk membawa
jalan pimpinan dan pertunjuk serta ilmu pengetahuan kepada umat manusia. Apa yang dibawa oleh Baginda itu bukan semua orang menerimanya dan bukan semua menolaknya. Untuk menjelaskan hal yang demikian Baginda membuat perbandingan yang bermaksud: 
Hati manusia dengan ilmu pengetahuan adalah ibarat bumi dengan air. Ada sebahagian dari bumi yang tanahnya apabila ditimpa hujan ia menyedutnya dan menumbuhkan tanaman yang berguna kepada makhluk-makhluk yang hidup. Demikian juga halnya hati manusia,  ada di antaranya yang menerima ilmu dan menghafaznya serta ia menerima kesan dan pengaruh ilmu itu, yang menjadikan dia beramal dengannya dan mengajarkannya kepada orang lain. Hati manusia yang sedemikian ini adalah sebaik-baik hati yang berhak dipuji dan dihormati.
Ada pula sebahagian dari bumi yang tanahnya apabila ditimpa hujan ia akan menampung airnya dan memeliharanya dari meresap hilang dan dengan itu dapat digunakan oleh makhluk-makhluk yang lain, tetapi tanah itu sendiri tidak mendapat manfaat daripadanya dan tidak menumbuhkan tanaman;  ia hanya dapat menumpang air untuk faedah makhluk-makhluk yang memerlukannya. Demikian juga halnya hati manusia, ada di antaranya yang menerima ilmu pengetahuan dan menghafaznya dan dapat pula mengajarkannya kepada orang lain, tetapi ia sendiri tidak mendapat faedah beramal dengannya. Manusia yang hatinya demikian kalau ia telah berbuat baik dari segi menghafaz dan menyampaikannya kepada orang lain, tetapi ia telah melakukan perkara yang buruk,  kerana ia tidak beramal dengannya, sedang tujuan beroleh ilmu ialah untuk beramal menurutnya.
Di antaranya ada pula bumi yang tanahnya tidak beroleh faedah dari air dan tidak dapat menahannya serta tidak dapat menumbuhkan sebarang tanaman.  Demikianlah pula hati manusia ada di antaranya yang tidak dapat menerima ilmu pengetahuan dan dengan itu tidak dapat beramal dengannya. Hati manusia yang demikian keadaannya adalah sejahat-jahat hati dan seburuk-buruknya, kerana ia tidak mempunyai bahagian langsung dalam kebaikan,  sama ada ilmu pengetahuan atau amal perbuatan,  bahkan ia seperti haiwan,  bahkan haiwan pun lebih baik lagi, kerana haiwan itu tidak akan mendapat balasan seperti yang akan didapati oleh manusia yang demikian keadaannya.
Kesimpulannya, hati manusialah yang wajib dibaiki supaya senang menerima apa yang telah dibawa oleh Rasulullah s.a.w. demi untuk mencapai kebahagiaan.
Hadis Kedua Puluh Enam
26- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ نَفَّسَ عَنْ مُؤْمِنٍ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ الدُّنْيَا نَفَّسَ اللَّهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ وَمَنْ يَسَّرَ عَلَى مُعْسِرٍ يَسَّرَ اللَّهُ عَلَيْهِ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللَّهُ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ وَاللَّهُ فِي عَوْنِ الْعَبْدِ مَا كَانَ الْعَبْدُ فِي عَوْنِ أَخِيهِ وَمَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا سَهَّلَ اللَّهُ لَهُ بِهِ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ وَمَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللَّهِ يَتْلُونَ كِتَابَ اللَّهِ وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ إِلَّا نَزَلَتْ عَلَيْهِمْ السَّكِينَةُ وَغَشِيَتْهُمْ الرَّحْمَةُ وَحَفَّتْهُمْ الْمَلَائِكَةُ وَذَكَرَهُمْ اللَّهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ وَمَنْ بَطَّأَ بِهِ عَمَلُهُ لَمْ يُسْرِعْ بِهِ نَسَبُهُ. (مسلم وأبو داود والترمذي)
26 - Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Sesiapa yang menolong memberi nafas baharu kepada seseorang mukmin yang mengalami kesusahan yang menyesakkannya dari kesusahan-kesusahan dunia,  nescaya Allah menolong melegakan kesusahan yang menyesakkannya dan kesusahan-kesusahan hari qiamat dan sesiapa yang menolong memudahkan susah payah seseorang, nescaya Allah menolong memudahkan susah payahnya di dunia dan di akhirat dan sesiapa yang menutup keaipan seseorang Islam, nescaya Allah menutup keaipannya di dunia dan di akhirat dan Allah tetap memberikan pertolongan yang diperlukan oleh seseorang, selagi orang itu memberikan pertolongan kepada saudaranya dan sesiapa yang berusaha menjalankan sebarang cara  yang menyampaikannya mencapai ilmu pengetahuan,  Allah akan memberi kemudahan kepadanya dengan usahanya itu untuk mendapat jalan yang membawanya ke Syurga dan tidak berhimpun sesuatu kaum dalam salah satu tempat dan tempat-tempat (yang dikhaskan untuk mencapai keredhaan) Allah dengan keadaan mereka membaca kitab Allah Al-Qur'an dan mentadarusnya sesama sendiri melainkan turunlah ketenteraman kepada mereka dan mereka pula diliputi oleh rahmat,  juga mereka dikelilingi oleh malaikat, serta mereka dipuji oleh Allah Taala dalam kalangan makhluk-makhluk yang mulia di sisi-Nya dan sesiapa yang dilambatkan oleh amal usahanya (dari mencapai kebaikan), tidak akan dapat disegerakannya oleh nasab keturunannya".
(Muslim, Abu Daud dan Tirmizi)
Hadis yang kedua puluh enam ini menerangkan tentang:
(1) Galakan memberi pertolongan.
(2) Balasan usaha menuntut Ilmu.
(3) Rahmat dan pujian Tuhan didapati oleh orang-orang yang berhimpun membaca dan mengulangkaji kitab Allah. 
(4) Amalan seseorang sahajalah yang menentukan maju mundnrnya.
Huraiannya:
(1) - Galakan memberi pertolongan.
Tiap-tiap orang dalam alam kehidupan dunia ini sudah tentu mempunyai hajat-hajat dan kemahuan untuk mendapat manfaat dan mengelakkan mudarat, sedang hajat-hajat dan kemahuan itu sebahagian besarnya tidak dapat dicapai melainkan dengan jalan bantu membantu dan tolong menolong antara satu dengan yang lain.
Keadaan yang demikian, tidak terlepas daripadanya seseorang pun, walau pun ia dari golongan yang senang lenang atau yang mempunyai kuasa.  Oleh itu maka hidup secara bermasyarakat adalah suatu tabiat semula jadi umat manusia.
Maksud hadis ini di antara lain menerangkan bahawa: Memberikan pertolongan kepada orang yang memerlukannya sama ada pertolongan itu kecil atau besar,  amatlah baik kesudahannya kerana ia bukan sahaja akan mendapat pertolongan dan orang lain kelak, bahkan Allah Aza wa Jalla tetap memberikan pertolongan yang sejenis dengan perbuatannya yang baik itu - bukan sahaja di dunia bahkan di akhirat kelak. Maka alangkah bahagianya orang yang mendapat pertolongan dari Allah (S.W.T.) pada hari yang tidak ada sesiapa pun dapat memberikan sebarang pertolongan? 
Di antara pertolongan yang sangat-sangat digalakkan ialah:
Pertama - Menolong meringankan penderitaan dan memberi nafas baru kepada mana-mana orang mukmin yang menanggung sesuatu kesusahan yang menyesakkannya dan soal-soal hidup dalam alam dunia ini. 
Sebenarnya pertolongan itu tidak terhad kepada orang-orang mukmin sahaja bahkan umum kepada tiap-tiap seorang manusia yang tidak memusuhi Islam dan juga kepada tiap-tiap haiwan yang lain dan binatang-binatang yang dibenarkan atau disuruh oleh agama membunuhnya.
Kedua - Menolong memberi kemudahan kepada sesiapa jua yang mengalami kepayahan, yang dituntut oleh Islam menolongnya.
Misalnya: Orang yang menanggung hutang sedang ia tidak dapat membayarnya pada masa yang ditetapkan, maka orang yang demikian keadaannya dikehendaki menolongnya dengan jalan dibebaskan dari semua atau dari sebahagian hutang yang ditanggungnya atau pun diberi tempoh yang lain untuk memudahkan ia membayarnya.
Atau seseorang Islam yang sedang mengalami susah payah dalam sesuatu masalah agama,  maka dikehendaki menolongnya dengan satu fatwa yang melepaskannya dan kesusahannya itu sekalipun fatwa itu tidak berdasarkan mazhab yang biasa diamalkannya.
Ketiga - Menolong menutup kesalahan atau keaipan orang Islam.
Menurut beberapa buah hadis,  bahawa sesiapa yang mendedahkan keaipan saudaranya, nescaya Allah akan mendedahkan keaipannya sekalipun di rumahnya sendiri.
Sayugia disebut, manusia itu dua jenis:
(a) - Orang yang tidak terkenal melakukan sesuatu maksiat,  maka orang yang demikian, kalaulah ia terlanjur melakukan sesuatu perkara yang buruk,  maka dialah orang yang dikehendaki diberi pertolongan menutup keburukan atau keaipan yang dilakukannya dan tidak harus didedahkan atau diperkatakan, kerana perbuatan yang demikian adalah perbuatan mengumpat yang nyata haramnya.
(b) - Orang yang terkenal berperangai buruk dan selalu melakukan maksiat,  yang tidak menghiraukan apa yang dilakukannya dan tidak pula mengambil indah kepada apa yang dikatakan kepadanya maka orang yang demikan keadaannya dituntut membongkar kesalahannya supaya ia menerima hukuman. 
Pertolongan menutup kesalahan dan keaipan seseorang Islam itu adalah dengan beberapa syarat: 
Pertama - kesalahan yang dilakukan itu berhubung dengan hak Allah Taala.
Kedua - kesalahan itu dilakukan pada masa yang lalu.
Ketiga - kesalahan itu dilakukan oleh orang yang tidak terkenal berperangai buruk dan selalu melakukan maksiat.
Keempat - orang itu tidak menjadi saksi atau rawi hadis atau pemegang amanah dan lain-lainnya dan orang-orang yang semestinya bersifat adil dan amanah. 
Kesimpulannya: Orang yang memberikan pertolongan yang tersebut, tetap beroleh pertolongan Allah sebagai balasan yang sebaik-baiknya.
(2) - Balasan usaha menuntut ilmu:
Oleh kerana jalan-jalan dan cara bagi mencapai ilmu agama itu banyak,  yang menghendaki seseorang penuntut berusaha dengan bersungguh-sungguh membanyakkan membaca,  menulisnya, menghafaznya dan mengkaji serta saling ingat-mengingati sesama penuntut,  maka Rasulullah s.a.w. memberi jaminan kepada orang yang menjalankan usaha itu, bahawa Allah Taala akan memudahkan baginya segala jalan yang menyampaikannya ke Syurga. 
(3) Kelebihan berhimpun membaca Al-Qur'an dan mentadarusnya:
Berhimpun atau berjemaah dalam mengerjakan sesuatu amal ibadat,  sangat-sangat digalakkan oleh Islam; di antaranya berhimpun membaca Al-Qur'an dan mentadarusnya, kerana Rasulullah s.a.w. menggalakkan umatnya berbuat demikian dengan menyatakan bahawa mereka diberi perasaan ketenangan hati, dicucuri rahmat dalam segenap keadaan,  dilingkungi oleh malaikat-malaikat berkat dan puji oleh Allah Taala dalam kalangan makhluk-makhluk yang mulia di sisi-Nya.
Keadaan yang demikian sangat-sangat dituntut untuk memimpin seseorang ke jalan mencapai keselamatan di dunia dan di akhirat, kerana sebahagian besar dari kacau bilau dan perbuatan maksiat adalah akibat dari dorongan jiwanya yang tidak ada perasaan ketenangan dan tidak dicucuri oleh rahmat Allah;  dan sebaliknya perbuatan-perbuatan baik yang menatijahkan keselamatan adalah dari jiwa yang bersih dan tenang serta mendapat cucuran rahmat Allah `Aza wa Jalla.
Empat kelebihan yang diberikan kepada orang-orang yang berhimpun membaca Al-Qur'an dan mentadarusnya itu diberikan juga kepada orang-orang yang berhimpun dalam majlis zikir (majlis menyebut dan mengingati Allah), sebagaimana yang tersebut dalam hadis Muslim.
Hadis Muslim ini, menurut pendapat Al-Saghani dalam syarh "Masyariq al-Anwar" adalah menjadi dalil tentang kelebihan tiap-tiap kumpulan yang berhimpun kerana Allah membaca Al-Qur'an, mendengar hadis Rasulullah s.a.w. atau mempelajari ilmu agama. 
Kelebihan berhimpun untuk "Zikir Allah" itu diterangkan pula dalam sebuah hadis Bukhari dan Muslim yang ringkasan maksudnya seperti berikut:
Bahawa Allah Taala mempunyai Malaikat yang sentiasa berjalan di merata-rata tempat mencari kumpulan yang berhimpun untuk berzikir, bertasbih,  bertakbir dan bertahmid; apabila mereka berjumpa kumpulan ahli zikir itu mereka panggil memanggil sesama sendiri lalu mengerumuni kumpulan itu serta menaunginya dengan sayap mereka berlapis-lapis hingga ke langit dunia. Setelah mereka mengadap Tuhan dan menjawab beberapa pertanyaan, maka Tuhan menyatakan kepada mereka dengan firman-Nya: "Hendaklah kamu menjadi saksi bahawa Aku telah mengampunkan dosa mereka sekaliannya." Mendengarkan firman Allah itu, salah satu di antara Malaikat yang tersebut berkata:  "(Ya Tuhan Kami!) dalam kalangan ahli zikir itu ada seorang yang hanya datang kerana satu hajat yang lain, lalu duduk dengan mereka." Allah Taala menjawab:  "Kumpulan itu ialah orang-orang yang sempurna kebaikannya, dengan kesempurnaan mereka tidak akan hampa orang yang duduk bersama-sama mereka".
(4) Amalan seseorang jualah yang menentukan maju mundurnya:
Dalam hadis ini Rasulullah s.a.w. menegaskan: Bahawa seseorang yang ingin membela nasibnya wajiblah ia belajar dan berusaha serta beramal; tidak harus ia bergantung kepada keadaan nasab keturunannya, kerana Tuhan telah berfirman yang maksudnya: "Dan bagi tiap-tiap seorang, beberapa darjat (tingkatan balasan) disebabkan apa yang mereka telah kerjakan"; demikian juga Rasulullah s.a.w. pernah bersabda mengingatkan kaum kerabatnya bahkan buah hatinya yang dikasihi, Sayidatina Fatimah, r.a., supaya masing-masing menebus diri dari azab seksa, dengan amal taat yang sempurna,  kerana Baginda tidak berkuasa menolak sesuatu pun dari azab seksa Tuhan itu.
Sayugia direnung dan diteliti isi hadis ini, kalau Rasulullah s.a.w. sendiri telah menyatakan tidak sanggup mengelakkan azab seksa dari anaknya Sayidatina Fatimah r.a., kalau ditakdirkan cuainya dari beramal, pada hal Rasulullah s.a.w. ialah Rasulullah dan Sayidatina Fatimah ialah anaknya yang dikasihi, maka betapalah pula orang yang cuai menjalankan perintah beramal dengan mengharapkan kelebihan nasab keturunannya atau kebangsawanannya dan betapa pula halnya orang yang tergamak menyanggup memberi pertolongan,  pada "hari seseorang tidak dapat memberikan pertolongan sedikit pun kepada orang lain dan segala perkara pada hari itu tertentu bagi Allah! "

No comments:

Post a Comment